PROJEK SAINS : HIDROPONIK MENGGUNAKAN MEDIA SPAN
Kaedah tanaman hidroponik mudah, selamat
BERKEBUN atau bercucuk tanam di rumah mampu menghilangkan tekanan dan rasa bosan. Tidak hairanlah ramai tertarik menjadikannya hobi, lebih-lebih lagi ketika pandemik.
Antara kaedah tanaman popular hidroponik. Ia semakin digemari masyarakat kerana melaluinya, mereka mampu berkebun tanpa menggunakan tanah.
Kaedah tanaman hidroponik juga lebih mudah dan menjimatkan masa. Tanaman ini bukan sahaja mesra alam, malah menghasilkan produk pertanian segar dan selamat untuk pengguna dan kelestarian alam sekitar.
Kaedah penanaman hidroponik semudah ABC kerana hanya memerlukan air (A), baja (B) dan cahaya (C). Kaedah ini permulaan sesuai bagi mereka yang ingin berkebun kerana hanya beberapa barangan diperlukan, selain bekas tanaman juga mudah dibuat sendiri
Botol plastik, kotak polisterin, bekas sabun pencuci pakaian, batang paip dan tong cat boleh dikitar semula untuk aktiviti berkebun secara hidroponik sama ada di kawasan kediaman, pejabat atau landskap.
Ia juga tidak memerlukan ruang atau kawasan tanah luas. Semua kelebihan itu menjadikan kaedah penanaman ini paling sesuai bagi mereka yang tinggal di kediaman jenis pangsapuri atau rumah teres dengan keluasan tanah terhad.
Banyak jenis penanaman hidroponik seperti sistem sumbu atau Wick System, teknik filem nutrien (NFT), sistem pasang surut atau dikenali Ebb & Flow System, sistem drip, aeroponik, fertigasi dan pelbagai lagi.
Bagi yang baru ingin mencuba, sistem paling umum dan mudah digunakan adalah sistem sumbu dan NFT. Namun paling popular adalah kaedah bertakung atau DFT iaitu akar terendam separuh dan NFT.
Sistem tanaman hidroponik NFT paling baik kerana ia menyediakan lebih banyak udara dan air kepada tanaman.
Ramai tidak tahu tanaman mampu hidup dengan subur tanpa menggunakan tanah dan sebenarnya tanah adalah media berkembang yang kurang efisien kerana tanaman akan menggunakan banyak tenaga pertumbuhan akar untuk mencari air dan nutrien.
Namun, melalui kaedah hidroponik, tanaman akan dibekalkan air dan nutrien dengan efektif. Oleh itu, hidroponik boleh mempercepatkan kadar penumbuhan sehingga 50 peratus berbanding menggunakan tanah.
Tanaman hidroponik menawarkan banyak keuntungan seperti penguasaan penuh terhadap pembajaan dan kadar nutrien untuk tanaman.
Pengguna juga boleh mengukur tahap kuasa hidrogen (pH) dan nutrien dengan lebih tepat dan cepat. Selain itu, tanaman juga selamat daripada serangan serangga atau penyakit dari tanah dan pengurangan kos baja serta penyiraman yang ketara.
Tanaman hidroponik menyumbang kepada kelestarian alam sekitar. Ia mampu mengurangkan kos dan penggunaan air yang banyak kerana pertanian hanya menggunakan 10 peratus daripada jumlah penggunaan tanaman atas tanah.
Hidroponik juga menggunakan air yang sudah digunakan untuk penanaman selepas penuaian, hanya perlu tambah air sekiranya kurang dan boleh mengurangkan kos pengeluaran tanaman.
Tanaman ini menjimatkan penggunaan baja kerana tiada pembaziran dan pada masa sama, tidak mencemarkan alam sekitar.
Penggunaan baja hidroponik hanya satu perempat daripada penggunaan baja tanah dalam kadar pengeluaran sama.
Boleh dikatakan semua tumbuhan berakar serabut, lembut dan tidak besar sesuai untuk tanaman hidroponik. Oleh itu, bagi yang ingin mencuba kaedah ini, mereka boleh menanam pelbagai jenis sayuran, buah-buahan dan herba.
Masyarakat perlu menceburi tanaman hidroponik kerana ia bukan saja menghasilkan sayuran lebih segar dan menyihatkan, malah membantu melestarikan alam sekitar.
Tanaman ini juga sesuai dijadikan aktiviti bersama keluarga kerana disamping berkebun untuk merehatkan minda, ibu bapa dapat meluangkan masa bersama anak-anak dan mendidik mereka menjaga kelestarian alam sekitar.
Sumber : Nur Aini Afiqah Mohd Zailani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA)
Comments
Post a Comment